Wednesday, June 9, 2010

Sejarah Kampung Ensebang Jaya

Kampung Ensebang Jaya merupakan sebuah perkampungan saudara baru yang terletak di Km 92 Jalan serian-Sri Aman. Perkampungan ini menempatkan saudara baru yang tinggal berselerak terutamnya di kawasan Serian/Samarahan. Pada tahun 1997 perkampungan ini secara rasminya telah dibuka. HIKMAH sebuah badan NGO yang berkaitan dengan aktiviti dakwah terutamnya berkaitan dengan saudara baru telah memberi sinar harapan kepada masyarakat di sini. Setelah 13 tahun berlalu, kini kampung Ensebang Jaya telah mula menikmati perubahan dengan adanya sebuah surau yang mampu menampung jemaah kira-kira 100 orang, sebuah dewan serbaguna hasil sumbangan pihak Majlis Agama Islam Sarawak dan Baitulmal serta jalan raya kampung.

Pastinya penduduk disini amat mengharapkan suatu hari nanti dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik kerana inilah antara nikmat kemerdekaan yang amat dinanti-nantikan selama ini walaupun kedudukaan kampung ini hanya 2 km dari pekanBalai Ringin dan 30km dari bandar Serian dan 92km dari bandaraya Kuching. Sehingga kini, kampung ini mempunyai lebih kurang 30 keluarga. Pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan dijalan baik dari penduduk kampung mahupun dari pelbagai badan luar. Sekalung terima kasih dipanjatkan khusus kepada pihak HIKMAH, MAIS, Baitulmal,JAIS,PERKIM dan pertubuhan lain yang sudi mengimarahkan kampung kami.Sesungguhnya kami sebagai saudara baru amat mengharapkan bimbingan yang berterusan demi kalimah syahadah yang kami anuti.

Kerjasama dan hubungan mesra penduduk kampung sentiasa menjadi kekuatan masayarakat di sini. Tanpa kerjasama yang erat pastinya pelbagai program yang dirancang tidak akan berjaya. Kampung ini diketuai oleh Encik Alihazimi Syariffudin sebagai wakil ketua Kaum telah berjaya
mewujudkan suasana yang harmoni dan terpimpin. Penubuhan JKKK kampung juga merancakkan lagi aktiviti di sini. Ibarat api tidak akan menyala jika hanya sepotong kayu tetapi akan terus menyala jika himpunan potong-potong kayu, menjadi tradisi kerjasama di sini.

Walaupun kampung ini masih baharu namun anak-anak saudara baharu menunjukkan kejayaan dalam pendidikan dan kerjaya. suatu kejayaan yang mampu mengubah landskap kehidupan agar lebih terarah. Ada yang berkhidmat sebagai pendidik, jururawat, juruukur,tentera dan lain-lain. Beberapa telah memperolehi ijazah,diploma dan seorang sedang mengikuti pengajian pada peringkat master. Semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepada anak-anak muda.walaupun dalam kepayahan pendidikan masih diutamakan.

Perkampungan ini benar-benar telah membentuk satu landskap kehidupan yang baharu untuk kami yang bergelar saudara baru. Moga segala perit jerih dan pengorbanan semua pihak terutamanya pihak HIKMAH akan mendapat keberkahan dari Nya. Semoga kampung kami terus dilimpahi cahaya keimanan yang berkekalan. Kami juga mengharapkan kampung ini juga diterangi oleh lampu-lampu elektrik dan dibasahi dengan bekalan air paip kerana telah lama kami merindui nikmat sebuah kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment